Search This Blog

Tuesday, August 24, 2010

Aplikasi Google Dalam Pendidikan


Institusi pendidikan telah mengalami perubahan yang sangat pesat terutamanya cara pelajar mengakses maklumat. Kelebihan internet digunakan sepenuhnya oleh pelajar, terutamanya di IPT untuk melaksanakan perkongsian maklumat. Tidak dapat dinafikan IPT mempunyai peruntukan kewangan untuk menyediakan sistem LMS yang baik bagi menampung keperluan pembelajaran dan pengajaran.

Peruntukan untuk Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menyediakan kemudahan sedemikian mjngkin agak terhad. Pervubaan telah dilaksanakan untuk menyediakan LMS berasaskan Sumber Terbuka, tetapi setelah lebih 5 tahun menunggu ianya masih diperingkat percubaan di beberapa sekolah sahaja, Masih tidak menjadi realiti untuk digunakan oleh 10,000 sekolah seluruh Malaysia.

Perkembangan terkini memperlihatkan ramainya guru telah proaktif untuk menggunakan kreativiti sendiri mencari dan menggunakan aplikasi yang dibekalkan secara percuma untuk merealisasikan Kelas Dalam Talian bersama pelajar mereka. Projek perlaksanaan Google For Edicators dengan 100 sekolah Daerah Larut Matang Selama (LMS) pada tahun 200, telah membuktikan perlaksanaannya adalah sangat memberangsangkan.

Pada tahun 2010, Pusat ICT UPSI telah menganjurkan pertandingan Educational Blogging 2010, penyertaan hanyalah seramai 240 guru dari seluruh Malaysia, walau bagaimanapun saya mendapati kualiti blog yang dihasilkan adalah sangat tinggi. Tempat pertama dimenangi oleh seorang ustaz yang memperkenalkan pengajaran PAFA dalam talian. Tahniah kepada seorang ustaz yang IT savvy! Dua orang guru dari SMS Seri Puteri, Kuala Lumpur telah tersenarai dalam 10 blog terbaik dalam pertandingan tersebut. Mereka berdua memilih matapelajaran Biologi dan Kimia untuk dikongsi bersama pelajar. Penyampaian hadiah telah dilaksanakan pada Hari ICT 2010 di bangunan baru E-learning, UPSI. Tahniah kepada semua pemenang, walaupun pemenang dari Kelantan, Sabah dan Sarawak tidak dapat bersama kerana jauh dari Tanjung Malim.

Melihat kepada perkembangan ini, saya ingin menyarankan kepada Guru Malaysia, jangan tunggu pihak kementerian menyediakan sistem LMS untuk anda gunakan dengan pelajara, kemudahan yang disediakan oleh Google dalam Aplikasi Google For Educators adalah lengkap, malah yang terbaik setakat ini berbanding LMS yang terdapat di pasaran. Aplikasi ini adalah percuma dan hanya memerlukan pengaktifan akaun gmail. Tiada sebarang kos kepada Kementerian Pelajaran Malysia dan juga pengguna. Jika semua aplikasi dalam pakej ini digunakan sepenuhnya, perkongsian maklumat dapat dilaksanakan dengan berkesan. Pembelajaran dan pengajaran kolaboratif dapat diaplikasikan, malah secara kreatif boleh menjadikan perjalanan kelas lebih menarik tanpa kos yang tinggi. Kemudahan seperti Google doc, Calendar, iGoogle, Picasa, Google Map, iBook dan Blog boleh diakses dengan hanya berasaskan kepada akaun gmail sahaja.

Apakah mungkin boleh dirundingkan kerjasama secara rasmi antara KPM dengan Google Malysia untuk merealisasikan Kelas Dalam Talian?

Monday, August 23, 2010

Pembelajaran Dalam Talian


Pengalaman menjalankan pengajaran dalam talian bersama pelajar MTM6053 adalah sangat memberangsangkan. Lokasi pelajar yang berasal dari serata negeri dengan pelbagai perkhidmatan Internet telah menjadikan kelas ini lebih menarik dan kaya dengan pengalaman baru. Gangguan perkhidmatan internet sering berlaku semasa kelas dilaksanakan, terutamanya bagi pelajar yang menggunakan perkhidmatan "broadband". Pihak telcos tidak seharusnya memandang ringan masalah ini, sesuatu perlu dilaksanakan untuk meningkatkan perkhidmatan broadband di Malaysia. Ternyata kini permintaan dari pengguna adalah tinggi, malah sanggup berbelanja dan mengharapkan perkhidmatan yang terbaik!

Masalah teknikal juga merupakan cabaran baru kepada pelajar yang tidak mahir IT, contohnya konfigurasi alat komunikasi seperti mikrofon dan kamera. Ramai yang sanggup berbelanja membeli peralatan yang diperlukan, termasuk menambahbaik kelajuan internet di rumah masing-masing. Peralatan yang tidak mengikut spesifikasi semasa juga menjadi rintangan terhadap keberkesanan dan perjalanan kelas ini.

Semangat untuk belajar dan menggunakan teknologi internet adalah tinggi walaupun pun tidak mahir menggunakannya. Kemahiran menggunakan peralatan berkenaan dipelajari secara tidak langsung dari rakan sekelas, suami, isteri dan tidak kurang juga yang dibantu oleh anak-anak yang sememangnya sangat cepat menguasai penggunaan aplikasi internet dan peralatannya. Antara aplikasi yang saya gunakan ialah Forum MyGuru2, Google doc, DimDim, Skype, Twitterr dan SMS.
Mod pembelajaran yang digunakan adalah berbentuk chatting, email, blogging dan video konferen.
Tahniah kepada semua pelajar saya kerana tidak mudah berputus asa dan berani menerokai kaedah baru ini.

Pengalaman ini sangat berharga dan InsyaAllah akan cuba didokumenkan untuk perkongsian para pendidik yang ingin berjinak dengan Web 2.0 dan Education 3.0. Perancangan yang lebih terperinci akan dibuat berdasarkan pengalaman ini, semoga dapat dimanfaatkan bersama warga pendidik.

Tuesday, August 10, 2010

Educational Blogging 2010


Tahniah kepada semua pemenang National Educational Blogging Competition 2010 yang telah dianjurkan oleh Pusat ICT UPSI sempena sambutan Hari ICT 2010. Seramai 240 penyertaan telah diterima, sambutan kali ini adalah sangat memberangsangkan berbanding 30 pada tahun lepas.

Terima kasih kepada AJK dan Juri yang terlibat untuk menjayakan pertandingan ini. Juri mendapati penyertaan kali ini menunjukkan kualiti yang ketara terutamanya kandungan blog mengikut subjek yang dilaksanakan disekolah-sekolah. Subjek-subjek yang dipaparkan dalam blog adalah seperti sains, bahasa, agama, seni, kemahiran hidup, sejarah, matematik dan pendidikan awal kanak-kanak. Jelas sekali menunjukkan kesedaran menggunakan kemudahan Web 2.0 dikalangan guru malaysia adalah sangat memberangsangkan. Senarai penuh pemenang pertandingan boleh dirujuk pada laman rasmi Pusat ICT UPSI.

Pemenang pertama telah dihadiahkan sebuah iPad, pemenang kedua sebuah netbook, pemenang ketiga sebuah smartphone, manakala pemenang keempat menerima sebuah kamera digital. Lain-lain hadiah berupa pencetak laser, pencetak warna dan set pembesar suara dari Altec Lancing. Terima kasih kepada JARING dan Technitium di atas sumbangan hadiah-hadiah berkenaan.

Banyak permintaan yang diterima untuk kami meneruskan pertandingan ini atau dijadikan sebagai satu Yearly Event. InsyaAllah kami akan berusaha untuk merealisasikannya.
Semoga dengan usaha yang kecil ini dapat memberi satu suntikan baru kepada guru-guru Malaysia untuk maju dan cemerlang.